Penyejuk Mata

Mahkamah tolak permohonan Lina Joy, pelbagai pihak lega

Posted on: June 1, 2007

Mahkamah tolak permohonan Lina Joy, pelbagai pihak lega 
Wed | May 30, 07 | 06:36:17 PM 
PUTRA JAYA, 30 Mei (Hrkh) – Banyak pihak merasa lega dan melahirkan rasa syukur apabila dua daripada tiga hakim yang mengadili kes Lina Joy atau nama sebenarnya Azlina Jailani, 43, untuk membuang perkataan Islam dalam kad pengenalan, telah menolak permohonannya hari ini.
Hakim berkenaan yang terdiri dari Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Hakim Dato’ Allaudin Mohd Sheriff memutuskan bahawa Mahkamah Syariah ada kuasa menentukan sama ada seseorang boleh murtad atau tidak.

Katanya, mahkamah boleh mengenakan syarat untuk murtad.

Oleh itu mereka menyimpulkan bahawa Artikel 11 tidak membenarkan Azlina untuk menukar agama sesuka hati.

 Katanya, Azlina hanya boleh murtad mengikut undang-undang Syariah. Dengan itu kedua mereka menolak permohonan Azlina Jailani.

Walaupun Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Richard Malanjum tidak setuju dengan penghujahan Tun Fairuz dengan mengatakakan Perlembagaan Persekutuan adalah lebih tinggi di mana permohonan untuk menukar status agama kepada Mahkamah Syariah adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, tetapi Keputusan Penuh Penghakiman memutuskan bahawa Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 2:1 menolak rayuan Azlina Jailani (Lina Joy) untuk menukar status agama di dalam kad pengenalannya dan mengisytiharkan bahawa orang Islam tidak boleh murtad di bawah Artikel 11 Perlembagaan kecuali dengan kebenaran Mahkamah Syariah.

Kes tersebut turut didengar beberapa peguam pemerhati untuk pihak kerajaan iaitu antaranya, Pak Wan Chik Marican, Zulkifli Nordin, Zainur Zakaria dan lain-lain.

Sementara itu penghakiman yang dimulakan lebih kurang pukul 10.00 pagi dihadiri lebih 300 orang termasuk wakil NGO Islam seperti Jim, ACCIN, Abim, Frokad, Teras dan wakil Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi).

Mereka yang datang sejak awal pagi memenuhi perkarangan mahkamah dengan berzikir dan bermunajat, diketua oleh Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela).

Ketika itu juga setiap kali hakim membuat keputusan hadirin di luar turut diberitahu Pembela yang mendapat SMS dari wakil mereka yang berada dalam mahkamah.

Pengumuman dibaca oleh Anuar Tahir.

Laungan Takbir

Keputusan yang dibuat Tun Ahmad Fairuz dan Dato’ Allauddin disambut dengan laungan takbir.

Dalam pada itu, Presiden Pembela yang juga Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Muhamad terus berucap di hadapan khalayak sejurus keputusan diputuskan mahkamah.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alu keputusan tersebut kerana ia memihak kepada keadilan dan kebenaran.

“Kami juga meyakini keputusan ini suatu yang melegakan bukan hanya bagi orang Islam di Malaysia tetapi juga bukan Islam.

“Ini kerana keputusan ini kami lihat sebagai mempertahan dan mendokong satu sistem dan kedudukan yang berkaitan dengan Islam dan Mahkamah Syariah yang diamalkan sebelum dan selepas merdeka,” katanya.

Oleh itu katanya keputusan mahkamah hari ini tidak harus dilihat sebagai keputusan yang hanya memenangkan orang Islam, malah ia adalah satu pilihan dan satu sistem kehidupan bersama yang dipertahankan sejak zaman berzaman.

Keputusan tersebut juga katanya adalah satu keputusan menolak usaha sesetengah individu dan pihak lain untuk merombak dan mengganggu sistem yang selama ini dipertahan bersama orang Islam dan bukan Islam.

“Kita melihat keputusan hari ini sebagai sangat selari dengan realiti sejarah dan masyarakat Islam dan bukan Islam,” katanya.

Keputusan yang wajar

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar yang turut hadir di mahkamah berkata mahkamah sivi l tertinggi di Malaysia menunjukkan mahkamah sivil dan mahkamah syariah saling bantu membantu bukannya bersaing antara sama lain.

 “Ini adalah tindakan yang amat baik dan mahkamah sivil menghormati mahkamah syariah.

“Bidang kuasa yang ada pada Mahkamah Syariah boleh menjalankan kuasa mereka dan mahkamah sivil boleh menjalankan apa yang ada dalam bidang kuasa mereka,” katanya.

Menurutnya, Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah yang tertinggi di Malaysia dan kerana itu katanya tidak ada rayuan lagi untuk kes tersebut.

Katanya, keputusan hari ini adalah penting untuk menjadi panduan kepada hakim di mahkamah sivil bagaimana membuat keputusan sekiranya isu yang sama berbangkit lagi.

“Jadi hakim dan para peguam akan lebih mudah merujuk kepada peghakiman yang dikeluarkan oleh mahkamah yang tertinggi ini,” katanya.

Sementara itu peguam dari Pembela, Md Radzi Mustafa berpandangan, keputusan yang dibuat mahkamah tertinggi di negara ini mengenai kedudukan undang-undang Islam adalah sangat wajar.

“Satu keputusan yanga wajar kerana ia lama ditunggu oleh umat Islam dan kami daripada pertubuhan peguam pembela Islam berharap seluruh rakyat dapat menerima keputusan ini dengan hati terbuka,” katanya yang ditemui di perkarangan mahkamah.

Beliau berkata, sistem keadilan yang dipakai di negara ini memberi satu keputusan yang diharap dapat melegakan semua rakyat.

“Kami berharap keputusan ini dapat menjadi jawapan kepada beberapa kes yang masih menunggu jawapan dan perbicaraan di mahkamah dan sebahagian daripada kes yang menunggu jawapan di mahkamah sudah dijawab oleh Mahkamah Persekutuan hari ini,” katanya.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid yang turut mendengar keputusan tersebut berkata, beliau amat tertarik dengan penghujahan yang dibuat oleh Tun Ahmad Fairuz.

Ini katanya, hujah tersebut benar-benar menampakkan bahawa tafsiran terhadap Islam sebagai satu agama dianuti seseorang mesti tertakluk kepada makna Islam itu yang merangkumi semua aspek kehidupan.

“Bukan saja soal undang-undang semata-mata tetapi ekonomi politik, pendidikan, budaya, moral dan sebagainya.

“Itu saya kira bersejarah kerana sebelum ini walaupun diungkit adanya kes mengatakan dia berhak di bawah undang-undang syariah tapi kali ini pentafsiran muktamad diberi mahkamah sivil,” katanya. – mns
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

June 2007
M T W T F S S
    Aug »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Vote

Subscribe to RSS headline updates from:
Powered by FeedBurner

Ads

%d bloggers like this: